Ikan segar percuma seperti cencaru dan kembong diagihkan kepada penduduk di DUN Bukit Melawati bagi membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian.
ADNSELANGOR

4,725 kg ikan segar percuma diagih di Bukit Melawati

SHAH ALAM, 4 MEI: Sejumlah 4,725 kilogram (kg) ikan segar diagihkan secara percuma kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata jumlah itu melepasi sasaran awal sebelum ini iaitu sebanyak 3,800 kg bagi pengagihan ikan segar percuma.

“Alhamdulillah dengan keberkatan Ramadan ini, dapatlah saya berkongsi rezeki dengan penduduk Kuala Selangor di kawasan DUN Bukit Melawati (pemberian ikan seperti kembong atau cencaru).

“Sasaran kita sebanyak 3,800 kg namun atas permintaan yang tinggi dan sambutan menggalakkan, sehingga Sabtu lalu kita telah mengagihkan sehingga 4,725 kg ikan,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, pemberian itu diharap dapat memberikan kegembiraan kepada seluruh keluarga serta mengurangkan sedikit bebanan perbelanjaan dapur harian terutamanya dalam tempoh PKP yang sukar.

Semalam, agihan ikan segar percuma dilakukan di Kampung Pasir Tuntong, Tanjong Keramat, Taman Rajawali, Taman Kasawari, Kampung Sepakat, Kampung Asahan, Ladang Manmouth dan Taman Bukit Rotan.

Bantuan sama turut diberikan kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dan bomba Kuala Selangor serta Balai Polis Jeram.


Pengarang :