AGENDABERITA UTAMANASIONAL

50 lagi pesakit baharu Covid-19, tiada kematian

SHAH ALAM, 21 MEI: Terdapat 50 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 7,059 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,149, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 50 kes baharu, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 47 kes adalah penularan tempatan dengan 41 kes membabitkan bukan warganegara.

Katanya 34 kes positif dikesan dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, dan mereka berada dalam tahanan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac.

“Sehingga kini, terdapat 10 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi manakala tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, 90 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital sekali gus menjadikan jumlah pesakit sembuh adalah 5,796 kes.

Katanya, tiada tambahan kes kematian dilaporkan dan angka korban akibat virus itu kekal 114.


Pengarang :