Pelajar dari pelbagai kampus IPT tiba di IPD Kuala Selangor sebelum dibenarkan pulang ke rumah keluarga masing-masing pada 2 Mei 2020. Foto IPD Kuala Selangor
AGENSISELANGOR

52 pelajar IPT pulang ke Kuala Selangor

SHAH ALAM, 2 MEI: Seramai 52 pelajar dari pelbagai kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di zon Perak, zon tengah 1 dan zon Sarawak yang dibenarkan pulang ke kampung halaman, selamat tiba di Kuala Selangor semalam.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor memaklumkan semua pelajar tiba secara berperingkat sejak jam 3 petang hingga malam tadi.

“Semua pelajar dalam keadaan baik, data mereka dan waris yang datang mengambil di IPD di sini direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan ketibaan pelajar terbabit bomba Kuala Selangor turut melakukan sanitasi terhadap barangan yang dibawa.

“Mereka kemudian dibenarkan keluar dari pekarangan IPD Kuala Selangor dan ada yang dihantar pulang oleh Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor ke rumah masing-masing,” katanya.

Kerajaan memberi kebenaran kepada pelajar IPT di seluruh negara pulang ke kampung masing-masing bermula Isnin lalu.

 


Pengarang :