AGENSISELANGOR

76,000 daftar Selangor Tutor, pertandingan video kreatif diteruskan

SHAH ALAM, 6 MEI: Pertandingan video pendek kreatif mengenai Selangor Tutor diteruskan lagi pada 4 hingga 10 Mei depan, kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Dibuka bagi kategori sekolah rendah dan menengah Zahura Zakry berkata pertandingan bertujuan mencungkil bakat pelajar selain memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik di selangortutor.com.

“Pertandingan sudah berlangsung pada 27 April hingga 3 Mei bagi minggu pertama dan diteruskan lagi minggu kedua.

“Setiap pemenang akan menerima hadiah baucar pembelian buku dan syarat penyertaan boleh dirujuk di laman media sosial rasmi Yayasan Selangor sama ada Instagram, Facebook dan Twitter,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan juga memaklumkan pemenang bagi minggu pertama dimenangi oleh T Srinikhiesh dari Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru, Bangi manakala kategori sekolah menengah dimenangi Nurul Fikriyah Kamarzaman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang Kuala Selangor; Rakin Rashidi (SMK Seksyen 7) dan Muhamad Firdaus Azman (Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya).

Zahura berkata sejak Selangor Tutor dilancar sehingga semalam lebih 76,000 pelajar telah mendaftar dan menggunakan portal ini.

“Sepanjang tempoh itu juga, lebih 500,000 latihan dan 2.3 juta soalan latih tubi telah dijawab. Justeru, kami menyeru pelajar di negeri ini yang belum mendaftar Selangor Tutor, segera mendaftar sebelum 31 Mei ini,” kata beliau.


Pengarang :