Foto Instagram Istana Negara
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Ismail Kamus

SHAH ALAM, 8 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus yang meninggal dunia, tengah malam tadi.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga bersabar serta tabah menghadapai dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai pendakwah dan pengasas Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” titah Seri Paduka melalui hantaran di Instagram Istana Negara.

Allahyarham yang meninggal dunia di kediamannya di Ampang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Lembah Keramat pada jam 11 pagi.

Allahyarham berusia 72 tahun sebelum ini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung dan strok ringan serta jangkitan kuman di paru-paru.


Pengarang :