Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucap takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail yang meninggal dunia akibat dirempuh pemandu disyaki mabuk. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga polis dirempuh maut

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Istana Negara dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham Safwan, dan berharap seluruh keluarganya bersabar dan tabah menghadapi dugaan ini.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham sebagai anggota Polis Diraja Malaysia amat dihargai oleh Seri Paduka Baginda berdua.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian 2.11 pagi tadi, Allahyarham Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan, selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu pemandu disyaki mabuk dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya (LEKAS) di Kajang.

Susulan rempuhan itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit turut terbalik dan menghempap mangsa, yang ketika itu bertugas di sekatan jalan Op Covid-19, berhampiran plaza tol berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :