Suasana sekitar perumahan di Jalan Othman, Petaling Jaya selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 12 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Tentera, polis ronda rumah ke rumah mulai Ahad ini

SHAH ALAM, 19 MEI: Polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan rondaan rumah ke rumah mulai Ahad ini bagi memastikan rakyat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang musim sambutan Aidilfitri, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun pasukan keselamatan tidak mampu memeriksa semua rumah tetapi rakyat dinasihatkan mematuhi peraturan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya dimaklumkan oleh ketua polis negara, sewaktu perayaan polis akan melakukan rondaan di setiap kawasan. Jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan semak kediaman berkaitan dari segi jumlah (pengunjung) yang ada,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada 12 Mei lalu, kerajaan mengumumkan aktiviti ziarah pada hari pertama Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai hanya dibenarkan untuk 20 individu pada satu-satu masa.

Kerajaan juga meminta orang ramai menggunakan cecair pembasmi kuman atau basuh tangan ketika melawat, memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan sosial.

Peraturan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Pengarang :