Peniaga menyiapkan tempahan makanan melalui Plats dan Grab pada program e-Dapur Selangor di Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Akui lebih mudah, peniaga mahu program e-dapur diteruskan

PETALING JAYA, 4 MEI: Peniaga e-bazar Ramadan berharap program yang dilaksanakan Selangor ketika ini diteruskan walaupun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Ini kerana kebanyakan mereka meraih pendapatan lumayan melalui e-dapur berbanding menjual secara fizikal di bazar Ramadan.

Peniaga Teh Ais Madu Mohd Hairi Mohd Amin yang mulanya kekok mengakui kaedah tersebut mudah selepas cubaan beberapa hari malah mendapati rangkaian pembeli juga meluas.

Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya dapat jual antara 400 hingga 500 bungkus air sehari. Jumlah ini agak sukar dicapai ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun sebelumnya,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Peniaga makanan Zada Kitchen’s Khairul Haizal Mansor mengakui dirinya hampir buntu untuk meneruskan perniagaan sejak PKP berkuatkuasa Mac lalu.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila Yayasan Hijrah Selangor menawarkan tempat untuk berniaga di salah sebuah lokasi e-dapur.

“Alhamdulillah sehari saya dapat jual 150 pek makanan, saya ingin ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sediakan pusat e-dapur. Inisiatif ini wajar diteruskan kerana ia membuka jalan untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Setakat ini terdapat 10 lokasi e-dapur yang beroperasi iaitu Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya. Lokasi ke-11 di Batu Caves akan beroperasi Khamis ini.

Pada 24 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penyediaan 200 ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa melalui Grab dan Platform Selangor (Plats).

Penghantaran makanan melalui dua saluran e-dagang tersebut dibuat melalui Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam hingga 1 tengah hari manakala pesanan dalam talian dibuka bermula 2.30 sehingga 5.30 petang.


Pengarang :