Bangunan Parlimen Malaysia. Foto BERNAMA
SELANGOR

Alasan perlu pinda peraturan mesyuarat tidak wajar – Sivarasa

SHAH ALAM, 18 MEI: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi didakwa cuba mengalihkan kesalahan terhadap Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen berikutan keengganan kerajaan melaksanakan sidang Parlimen secara maya seperti yang pernah dituntut sebelum ini.

Ahli Parlimen Sungai Buloh Sivarasa Rasiah berkata alasan Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (SO) perlu dipinda sekiranya sidang maya mahu dilakukan disifatkan sebagai tidak wajar.

“Sesiapa sahaja akan menerima bahawa dengan keadaan pandemik (Covid-19) ketika ini, kita menghadapi krisis nasional dengan kadar mendesak, bukannya dengan urusan yang biasa.

“Anda sekarang adalah pemerintah. Anda boleh menentukan tarikh untuk melaksanakan sidang Parlimen.

“Walaupun pindaan adalah mustahak kepada SO, apa yang diperlukan adalah tindakan langsung menteri pada hari pertama mesyuarat untuk menangguhkan sebahagian SO yang dianggap sebagai masalah (yang akan segera disokong oleh pembangkang) sehingga mesyuarat dalam talian dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbeza jika dibandingkan dengan kebanyakan negara yang tetap menjalankan sidang Parlimen bagi menjelaskan situasi kesihatan dan keadaan kewangan negara mereka.

“Pemimpin di seluruh dunia dengan pantas mula mencari jalan penyelesaian untuk menjalankan sidang Parlimen bagi menjelaskan cadangan kesihatan dan kewangan, namun pentadbiran kerajaan PN cuba mengelak daripada melakukan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata pembangkang akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan dalam hal berkenaan malah menyokong semua bentuk inovasi untuk menguruskan sidang.

“Jadi YB menteri, tiada keperluan untuk mencari Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat atau mengemukakan pelbagai alasan. Lakukan sahaja atau terima yang anda sebenarnya tidak mahu melakukannya,” katanya.


Pengarang :