Anggota polis melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang pada 15 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Alasan tidak munasabah, 61 pemandu cuba rentas negeri dikompaun

SHAH ALAM, 27 MEI: Sebanyak 61 pemandu semalam dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri dan memberi alasan tidak munasabah.

Tindakan dibuat dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 388 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dan Kilometer 126 Jalan Persekutuan Ipoh Kuala Lumpur berhampiran sempadan Tanjung Malim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata antara alasan diberikan ialah mahu menjenguk rumah ibu bapa yang dilanda banjir kilat, namun pemeriksaan mendapati insiden berlaku minggu lalu.

“Ada juga pemandu memaklumkan SJR hanya dilakukan pada hari raya pertama menyebabkan dia merentas negeri. Bagaimanapun, polis mempunyai budi bicara bagi mereka yang mempunyai kes kecemasan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sulizmie berkata pihaknya juga melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah terutama yang mempunyai kenderaaan banyak, namun tiada pemilik dikenakan kompaun.


Pengarang :