Orang awam memakai pelitup muka ketika menunggu bas di perhentian bas Kampung Melayu, Ampang semasa tinjauan SelangorKini pada 5 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Ampang catat sifar kes aktif Covid-19, kini zon hijau

SHAH ALAM, 11 MEI: Mukim Ampang di daerah Hulu Langat mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 hari ini, sekali gus bertukar status dari zon kuning ke hijau.

Menurut Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor, mukim Ampang Pecah di Hulu Selangor pula kembali memasuki zon kuning berikutan pertambahan satu kes baharu.

“Tiada perubahan ketara untuk taburan data kes aktif bagi seluruh daerah dan mukim Selangor, perubahan cuma dicatatkan untuk mukim Ampang yang bersih dari kes aktif menjadikan statusnya bertambah baik ke zon hijau.

“Bagi mukim Ampang Pecah, terdapat kes aktif baru direkodkan menjadikannya berubah status kepada zon kuning,” tulisnya di Facebook.

Mengikut data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis negeri, Batu satu-satunya mukim zon merah yang merekodkan 129 kes dengan 49 daripadanya aktif.

Bagi daerah pula, Kuala Langat masih memegang status zon hijau selepas tiada lagi kes aktif dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Lima daerah lain yang berada dalam zon kuning iaitu Hulu Langat (31), Klang (15), Kuala Selangor (13), Hulu Selangor (11), Sepang dan Sabak Bernam masing-masing satu.

Dua daerah yang masih dikategorikan sebagai zon merah ialah Petaling (59) dan Gombak (55).

Hari ini, jumlah kes baharu positif Covid-19 di negeri ini menurun apabila merekodkan hanya tiga berbanding lapan semalam, menjadikan kes terkumpul 1,607 membabitkan 186 aktif.


Pengarang :