Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar ajak pembangkang hormat titah Agong Isnin ini

SHAH ALAM, 14 MEI: Blok pembangkang akan menghormati Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Isnin ini.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak timbul isu usul tidak percaya akan dibangkitkan ketika sesi sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Sebenarnya, tidak timbul isu, tidak ada usul atau soal jawab. Sidang ini kita mesti menghormati dan memuliakan institusi Yang di-Pertuan Agong, kita tanpa kira parti harus memberikan penghormatan, beradap sopan, memuliakan institusi raja dan penuhi tanggungjawab Perlembagaan.

“Jadi selain daripada itu, saya tidak jangka apa-apa boleh diadakan. Tuan Speaker Dewan Rakyat akan panggil bangun, sidang akan mendengar titah Agong selepas itu majlis bersurai hingga tarikh ditetapkan, tidak boleh buat pencelahan dan tidak sesuai dengan adab peraturan,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada usul undi tidak percaya terhadap kerajaan sekarang akan dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat.

Anwar memberitahu, blok pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) akan membantah sekiranya ada tindakan untuk menggangu perjalanan majlis ketika raja menyampaikan titah baginda.

Semalam Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata Sidang Dewan Rakyat Isnin ini hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau menerima surat pemakluman ditandatangani perdana menteri sebagai Ketua Majlis bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 yang akan berlangsung sehari itu, dipinda dengan urusan mesyuarat berkenaan.


Pengarang :