AGENDANASIONAL

Anwar gesa kerajaan berlaku adil kepada media

SHAH ALAM, 14 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim gusar terhadap kebebasan media yang semakin terhakis termasuk halangan membuat liputan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Presiden KEADILAN berkata sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, semua media perlu diberi ruang dan tidak dizalimi.

“Saya juga gusar sedikit umpamanya Kerajaan Melaka kemudian Perak tidak izinkan media bebas hadir.

“Kita bukan negara kuku besi jadi berilah ruang. Kalau nak kata penjarakan sosial, adakan ruang kepada mereka (media) dan biarkan mereka ikuti serta buat liputan,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Kenyataan itu susulan hanya beberapa media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan pada sidang pembukaan Parlimen yang berlangsung sehari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara tersebut diputuskan Speaker dan di luar bidang kuasa kerajaan.

Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata badan kehakiman bebas perlu dipertahankan selain memiliki agensi pembanteras rasuah bebas dan Parlimen berfungsi sebaiknya.

“Itu tunggak negara demokrasi. Kita mahu demokrasi tetapi yang kita laksanakan ialah ‘kerasi’ (kekerasan),” katanya lagi.


Pengarang :