AGENDANASIONAL

Anwar: Jangan korbankan kesihatan, sambut Aidilfitri dengan waspada

SHAH ALAM, 23 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh waspada, kesederhanaan dan keinsafan susulan penularan Covid-19 ketika ini.

Presiden KEADILAN berkata amalan penjarakan sosial dan penggunaan pelitup muka perlu diteruskan walaupun Aidilfitri disambut penuh gembira bersama keluarga.

“Perayaan Aidilfitri tahun ini ternyata berbeza daripada dasawarsa-dasawarsa yang lalu tatkala kita terus terkesan dengan serangan dan dampak wabak Covid-19. Musibah yang menimpa kita ini tidak pernah dialami sebelumnya,” katanya menerusi perutusan Aidilfitri di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Aidilfitri bermaksud kembali kepada fitrah kemuliaan insan yang murni setelah mengharungi dugaan Ramadan selain pengajaran meningkatkan amal ke arah makruf dan menolak kemungkaran di samping memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Untuk pertama kalinya, umat Islam di Malaysia bakal menyambut lebaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang hanya membenarkan ziarah rentas daerah selama sehari tanpa sebarang kelulusan rentas negeri kecuali membabitkan kes-kes kecamasan.


Pengarang :