AGENDANASIONAL

Anwar kritik ahli akademik pertikai desakan perbahasan dewan

SHAH ALAM, 20 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik ahli akademik yang mempertikai desakan pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) berikutan tiada sesi perbahasan pada sidang Parlimen Isnin lalu.

Presiden KEADILAN berkata sesi itu bukan mempersoalkan Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sebaliknya ahli parlimen menyambut isu yang disebutkan dalam titah berkenaan untuk dibahas.

“Itu tidak bermakna derhaka, sudah 62 tahun merdeka masih ada ‘madya’ belum bermaya beri pandangan. Prof madya yang berkenaan, adakah dia faham perlembagaan?

“Titah itu adalah pandangan kerajaan dan ia untuk dibahaskan, ada usul junjung kasih, jika Tuanku sebut Covid-19, kita bahaskan.

“Tuanku juga tegas dalam titahnya berkenaan rasuah, jadi kita patut bangkit, baik kerajaan atau pembangkang, bangkitkan kenapa ia (rasuah) berlaku,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.

Pada 18 Mei lalu, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz menggesa ahli dewan tidak mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan penggal Parlimen.

Sebelum ini, PAKATAN dan sekutunya mendesak sidang Dewan Rakyat dijalankan secara penuh atau sekurang-kurangnya dua minggu bagi membincangkan pelbagai isu termasuk wabak Covid-19.


Pengarang :