Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan persidangan meja bulat parlimen sempena Hari Pekerja menerusi webinar. Turut sama menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi, ahli ekonomi, Hafiz Noor Shams dan Pengarah Eksekutif Refsa, Tan E Hun.
AGENDANASIONAL

Anwar kritik ‘pusingan U’ isu tangguh bayaran pinjaman

SHAH ALAM, 1 MEI: Presiden KEADILAN hari ini mengkritik keputusan yang dianggapnya ‘pusingan U’ membabitkan moratorium atau penangguhan bayaran pinjaman.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menimbulkan kemarahan orang ramai, apatah lagi berlaku kekeliruan dalam isu faedah.

“Kita tidak mahu lagi keputusan yang berubah-ubah ini, ia hanya melambangkan kepada polisi yang tidak cekap,” kata ahli parlimen Port Dickson ketika persidangan meja bulat parlimen menerusi webinar hari ini.

Anwar berkata pihaknya juga sedia bersemuka dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan dasar yang lebih realistik.

“Kita bersedia untuk berbincang sebarang polisi jika ia membabitkan kebaikan rakyat,” katanya.

Turut menjadi panelis persidangan dalam talian ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr Nungsari Ahmad Radhi; ahli ekonomi, Hafiz Noor Shams dan Pengarah Eksekutif Refsa, Tan E Hun.

Dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumum perdana menteri pada 25 April lalu, kerajaan memberi penangguhan bayaran pinjaman bernilai RM100 bilion susulan wabak Covid-19.

Namun semalam, BNM dalam kenyataannya meminta peminjam melengkapkan dokumen kebenaran untuk penangguhan itu.

Prosedur itu meresahkan peminjam yang khuatir mereka perlu membayar faedah tambahan jika mereka memilih membuat penangguhan berkenaan sebelum ini.


Pengarang :