Penjawat awam mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) di Bangunan SUK Shah Alam pada 14 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Aplikasi SELangkah diakses 8.3 juta kali – MB

SHAH ALAM, 28 MEI: Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) telah diakses sebanyak 8.3 juta kali sehingga semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sistem dibangunkan Kerajaan Selangor itu bertujuan membantu Jabatan Kesihatan negeri menjejak kontak Covid-19.

“Alhamdulillah sistem SELangkah dicipta bagi menggantikan sistem catitan menggunakan pen dan kertas selain dari membantu usaha jabatan kesihatan negeri dalam ‘contact tracing’.

“Setakat semalam 8.3 juta penggunaan ataupun ‘log in’ telah dicatatkan menerusi sistem SELangkah,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Ketika sesi temu bual dalam talian pada Program Cendol Aidilfitri anjuran Institut Darul Ehsan hari ini, Amirudin berkata aplikasi SELangkah dimanfaatkan semua negeri di Semananjung Malaysia.

Penggunaan SELangkah luar Selangor membabitkan syarikat atau premis perniagaan memiliki rangkaian cawangan di negeri lain antaranya 7-Eleven, Al-Ikhsan Sports, Giant Hypermarket, JM Bariani House, F&N Coca Cola (M) Sdn Bhd, Coffee Bean & Tea Leaf, SP Setia dan Chilli’s.

Aplikasi itu diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan virus di mana-mana premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

SELangkah hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.


Pengarang :