Selangorkini
AGENDA NASIONAL

ASNB: Orang ramai diminta waspada tawaran labur palsu

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) meminta orang ramai berhati-hati supaya tidak terperdaya dengan tawaran pelaburan palsu yang dikesan menggunakan nama dan logo syarikat itu.

Syarikat pengurusan unit amanah tersebut berkata justeru, orang ramai dinasihatkan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-77308899 atau layari www.asnb.com.my, atau e-mel ke [email protected] sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau pertanyaan.

“Baru-baru ini wujud penyebaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nama ‘ASNB Group’ bertujuan memperdaya orang ramai membuat pelaburan dalam pakej pelaburan palsu,” menurut ASNB dalam kenyataan hari ini.

ASNB berkata dalam mesej berkenaan, penghantar mendakwa mewakili ASNB Group dan menggunakan nama serta logo syarikat ASNB tanpa kebenaran bagi menawarkan pakej pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh yang singkat.

“Modus operandi pelaburan palsu ini ialah sekiranya penerima mesej berminat untuk melabur, mereka hanya perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang dinyatakan dalam mesej berkenaan secara dalam talian.

“Wang itu kononnya akan didagangkan ke dalam sektor minyak, pasaran saham serta mata wang, dan pelabur hanya perlu menunggu keuntungan dimasukkan terus ke dalam akaun mereka,” kata ASNB.

ASNB berkata pihaknya mengambil serius perkara terbabit dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku, malah satu laporan polis mengenai mesej berkenaan telah dibuat.

ASNB menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan meminta mereka terus menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan ASNB untuk membuat aduan sekiranya menerima mesej meragukan mengenai pelaburan menggunakan nama ASNB.

“Untuk makluman, ASNB ialah syarikat yang menawarkan unit amanah dan tidak pernah melantik mana-mana individu untuk menawarkan sebarang pakej pelaburan sama ada secara langsung atau menerusi kemudahan WhatsApp mahupun mana-mana aplikasi mesej yang lain,” kata ASNB.

Ia juga tidak pernah menggunakan nama ASNB Group dalam sebarang aktiviti promosi dan publisiti produk.

Orang ramai yang ingin memulakan pelaburan dalam unit amanah ASNB perlu terlebih dahulu mengunjungi cawangan ASNB atau ejen ASNB untuk membuka akaun pelaburan dengan membawa bersama dokumen pengenalan diri yang asal, menurut ASNB.

Firma itu berkata pelaburan tambahan secara dalam talian pula hanya boleh dilakukan menerusi portal dan aplikasi mudah alih myASNB, dan perbankan Internet ejen berdaftar kami seperti Maybank2u, CIMBClicks, RHB Now dan AffinOnLine.

“Pihak ASNB tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian akibat pelaburan dalam sebarang skim pelaburan yang tidak mempunyai kaitan dengan ASNB,” katanya.

Sebarang urus niaga pelaburan untuk unit-unit amanah ASNB boleh dilakukan di mana-mana pejabat cawangan ASNB dan ejen ASNB seluruh negara.

Layari www.asnb.com.my dan klik menu ‘Hubungi’ untuk senarai cawangan dan ejen ASNB.

– BERNAMA


Pengarang :