Adi Faizal Ahmad Tarmizi ketika ditemui di Pejabat MSN Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Atlet kena ikut SOP semasa latihan, elak wujud kluster sukan

SHAH ALAM, 3 MEI: Kelonggaran bagi menyambung semula latihan bagi sukan tertentu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melegakan atlet dan jurulatih, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Adi Faizal Ahmad Tarmizi mengingatkan semua pihak  mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Adalah dinasihatkan untuk semua pihak mengambil serius SOP yang disediakan bagi memastikan tidak wujud kluster sukan pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, setiap atlet dan petugas persatuan yang menghadiri sesi latihan dengan kebenaran MSN perlu menjalani pemeriksaan suhu badan bagi memastikan tahap kesihatan.

Katanya, setakat ini jumlah persatuan yang akan kembali berlatih belum diputuskan dan perkara itu bakal diumumkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu mengumumkan semua acara sukan yang melibatkan sentuhan badan tidak dibenarkan berlangsung termasuk bola sepak dan ragbi.

Di Selangor hanya aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dibenarkan dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Selain itu, kemudahan sukan di lokasi tertutup seperti gimnasium serta kolam renang juga tidak dibenarkan termasuk mendaki bukit.


Pengarang :