Sebuah poster menunjukkan tarikh asal Olimpik Tokyo 2020 di stesen kereta api bawah tanah di Tokyo, Jepun pada 30 Mac 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Atlet Road To Tokyo boleh jalani latihan – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 19 MEI: Kerajaan memberi kelonggaran khas kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membolehkan atlet program Road To Tokyo 2020 kembali menjalani latihan selama sebulan bermula 1 Jun hadapan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelonggaran khas melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet itu bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo, Jepun.

“Sesi latihan ini akan dijalankan di Kompleks Sukan Bukit Jalil yang melibatkan 181 individu, Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara (56 individu) dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi (28 individu). Saringan Covid-19 akan dilakukan sewaktu pendaftaran,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata KBS menggunakan pendekatan kuarantin selama 30 hari bersamaan dua kali tempoh inkubasi dan semua peserta tidak dibenarkan keluar selain menjalani saringan Covid-19 sebelum tempoh latihan tamat.

Ismail Sabri berkata Jawatankuasa Pemantauan yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan memantau program latihan ini supaya mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.


Pengarang :