Adi Faizal Ahmad Tarmizi ketika ditemui di Pejabat MSN Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Atlet Sukma Selangor teruskan latihan di rumah

SHAH ALAM, 13 MEI: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2020 Selangor meneruskan latihan di rumah seperti ditetapkan sebelum ini sehingga menerima keputusan baharu Majlis Sukan Negara (MSN), kata Adi Faizal Ahmad Tarmizi.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata pihaknya senantiasa mengikuti perkembangan terkini susulan arahan Kementerian Belia dan Sukan yang meminta MSN meneliti tatacara operasi piawai (SOP) yang sesuai sebelum atlet kembali berlatih.

“Untuk masa ini MSN masih mengekalkan keputusan latihan kendiri. Cadangan latihan berkumpulan masih diteliti oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“MSN Selangor mengambil maklum perkara ini dah mohon atlet dan jurulatih kekalkan latihan di rumah sehingga ada kebenaran untuk berlatih sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kelonggaran bagi menyambung semula latihan sukan tertentu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kecuali acara yang melibatkan sentuhan badan termasuk bola sepak dan ragbi.

Di Selangor hanya aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dibenarkan dengan mengamalkan penjarakan sosial bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

Selain itu, kemudahan sukan di lokasi tertutup seperti gimnasium, kolam renang dan mendaki bukit tidak dibenarkan.


Pengarang :