AGENDAEKONOMI

Bank Islam peruntuk RM5.3 juta bagi pembiayaan mikro iTEKAD

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melancarkan program pembiayaan mikro iTEKAD dengan peruntukan sebanyak RM5.3 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro dan sumbangan zakat.

iTEKAD adalah inisiatif pembiayaan sosial untuk menyokong penjanaan pendapatan mampan dan ketahanan kewangan golongan asnaf serta perusahaan mikro yang dimiliki golongan B40 dalam landskap yang mencabar ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata fasa pertama program itu dijangka memberi manfaat kepada 100 penerima pada akhir tahun.

“Program itu menawarkan modal permulaan dengan perancangan pembiayaan mikro berpatutan bagi pemohon yang layak untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan bagi menjana pendapatan.

“Selain membiayai modal kerja, iTEKAD akan menggunakan dana zakat bagi membeli peralatan dan kelengkapan yang diperlukan bagi penerima yang layak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam memperuntukkan RM5 juta daripada Dana Kemudahan Perusahaan Mikro Bank Negara Malaysia bagi program pembiayaan mikro ini.

“Pemohon yang layak yang memenuhi kriteria asnaf berdasarkan prinsip syariah akan mendapat manfaat daripada peruntukan dana zakat berjumlah RM300,000 daripada Bank Islam,” katanya.

Setakat ini, Bank Islam menerima 14 permohonan terutamanya daripada usahawan mikro dalam sektor makanan dan minuman, pembuatan dan perkhidmatan di Wilayah Persekutuan.

Mohd Muazzam berkata, peserta terpilih akan menjalani latihan di bawah SME Corp Malaysia bermula Julai ini.

Maklumat lanjut mengenai program iTEKAD boleh didapati di https://www.bankislam.com/business-banking/sme-banking/iTEKAD

– BERNAMA


Pengarang :