Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan Hari Raya MBI di Dewan Beringin, Batu Caves pada 20 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan Kerajaan Negeri, MBI ringankan beban waktu PKP

GOMBAK, 20 MEI: Penerima sumbangan Aidilfitri Kerajaan Negeri dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor melahirkan rasa gembira kerana ia meringankan beban keluarga susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nor Shamsuri Mohamed Shukri, 37 dari Kampung Padang Balang berkata suaminya yang bekerja sendiri terputus sumber pendapatan sejak 18 Mac lalu.

“Bantuan Aidilfitri kali pertama diterima ini amat bermakna dan terima kasih kerana tidak melupakan kami dalam keadaan susah, lebih-lebih lagi hendak menyambut Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu Mohamad Said Zakaria, 65, bekas Ketua Kampung Gombak Utara berkata beliau terharu kerana masih diingati dan menjadi salah seorang penerima bantuan berkenaan.

“Bantuan seperti makanan dan barang dapur ini sudah tentu membantu keluarga saya membuat persiapan hari raya lebih baik,” katanya.

Kedua-dua mereka ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri MBI bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Beringin, di sini hari ini.

Hadir sama pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MBI Soffan Affendi Aminudin, Pegawai Daerah Gombak Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Whip Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Amir Fazlee Khalid.

Pada majlis berkenaan, seramai 500 penduduk Gombak Setia menerima bantuan berkenaan.


Pengarang :