Had bilangan penumpang setiap bas juga dikurangkan berbanding dengan had bilangan penumpang yang sedia ada bagi memastikan penjarakan selamat antara penumpang. Foto Sumber: Facebook Ng Sze Han
PBTSELANGOR

Bas Smart Selangor kawasan MPS mula operasi hari ini

SHAH ALAM, 6 MEI: Sembilan Bas Smart Selangor di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mula beroperasi hari ini dari jam 6 pagi hingga 10 malam, kata Mohamad Zin Masoad.

Pengarah jabatan korporat berkata setiap bas itu dibahagikan kepada tiga laluan iaitu di Selayang Mutiara-LRT Gombak sebanyak empat bas; Tesco Rawang-Hentian Bas Rawang (tiga bas) dan Batu Arang-Stesen Komuter Sungai Buloh (dua bas).

“Sebagai langkah keselamatan bagi mencegah penularan Covid-19, operator Bas Smart Selangor MPS telah melakukan kerja nyahkuman di dalam bas dengan meletakkan pelekat bagi menandakan tempat duduk untuk penjarakan sosial.

“Selain itu, cecair pembasmi kuman turut disediakan dalam bas dan had bilangan penumpang pula dikurangkan kepada 15 orang sahaja dalam satu masa berbanding sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua penumpang diingatkan sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.

Pastikan penjarakan sosial serta memakai pelitup muka serta sentiasa membersihkan tangan sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi di talian 03-6138 9898 / 03-6126 5824 atau layari www.mps.gov.my.


Pengarang :