Had bilangan penumpang setiap bas juga dikurangkan berbanding dengan had bilangan penumpang yang sedia ada bagi memastikan penjarakan selamat antara penumpang. Foto Sumber: Facebook Ng Sze Han
AGENDAEXCO

Bas Smart Selangor, PJ City kembali operasi esok

SHAH ALAM, 5 MEI: Bas Smart Selangor dan PJ City memulakan operasi secara berperingkat mulai esok bermula 6 pagi sehingga 10 malam, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata sebanyak 103 Bas Smart Selangor beroperasi di 36 laluan manakala laluan SPG 3 dan SPG 4, BTG2, SB02 dan SB03 serta HS02 dan HS03 masih ditangguh sehingga dimaklumkan kelak.

Katanya, 16 Bas PJ City pula akan beroperasi seperti biasa di enam laluan terlibat.

“Semua penumpang dan pemandu diingatkan sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan selamat, memakai pelitup muka serta membersihkan tangan sebelum dan selepas menggunakan pengangkutan awam,” katanya hari ini.

Bas Smart Selangor menjalani nyahkuman. Foto: Facebook Ng Sze Han

Sze Han berkata pengendali Bas Smart Selangor dan PJ City melakukan semburan nyahkuman di dalam bas sebagai langkah keselamatan serta mencegah penularan Covid-19.

“Pengendali bas juga meletakkan pelekat menandakan tempat duduk yang harus dielakkan serta menyediakan cecair pembasmi kuman dalam bas. Had bilangan penumpang setiap bas dikurangkan bagi memastikan penjarakan selamat antara penumpang,” katanya.

Pada 24 Mac lalu Bas Smart Selangor dan PJ City dihenti operasi susulan penularan wabak Covid-19.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri mengambil langkah berhati-hati membuka semula sektor ekonomi dengan mengubahsuai beberapa perkara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi mengelak wujudnya kluster baharu Covid-19 selepas wabak itu berjaya dikurangkan selain masih berada di sekitar khalayak.


Pengarang :