AGENSISELANGOR

Bekalan air di Hulu Selangor belum pulih

SHAH ALAM, 29 MEI: Penduduk Hulu Selangor masih terputus bekalan air sehingga pagi ini berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik yang dihenti tugas kelmarin belum beroperasi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, hujan lebat semalam menyebabkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak terpaksa menghentikan kerja menyedut baki diesel yang mencemari Sungai Selisik dan akan disambung pagi ini.

“Air Selangor tidak dapat menjangka bila masalah bekalan pulih. Henti tugas LRA Sungai Selisik menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata, pihaknya akan menghantar lori tangki bagi memudahkan penduduk yang terjejas mendapat bekalan air.

Kelmarin, kemalangan melibatkan lori tangki diesel dan van keselamatan di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah.

Susulan itu, LRA Sungai Selisik yang terletak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan terpaksa dihenti tugas hingga mengakibatkan lapan kawasan mengalami gangguan bekalan air.


Pengarang :