Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika tinjauan di sekitar Pasar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur pada 23 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bekalan barang menjelang Aidilfitri mencukupi

ALOR SETAR, 17 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan harian adalah mencukupi, menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kementerian itu sentiasa memantau perkara tersebut.

“Buat masa ini, semua bekalan barang mentah menjelang hari raya termasuk ayam, daging, telur dan kelapa mencukupi, dan orang ramai tidak perlu bimbang.

“Harga bawang juga telah kembali ke paras normal apabila ia kini dijual dengan harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram, berbanding RM13 sebelum ini,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke Kompleks Pekan Rabu di sini.

Sementara itu beliau berkata, seramai tujuh peniaga di negeri ini telah dikenakan notis tunjuk sebab, kerana menjual ayam pada harga yang tidak munasabah, pada Jumaat.

Rosol berkata, berikutan permintaan yang tinggi, ada peniaga di negeri ini yang mengambil kesempatan menjual ayam pada harga RM9.20 sekilogram.

“Kita memang terima aduan berhubung kenaikan harga ayam. Di Terengganu, ada yang jual ayam sehingga RM9.60 sekilogram dan Kedah pula sehingga RM9.20 sekilogram, dan bagi saya kenaikan harga ini tidak wajar.

“Menjelang hari raya ini, permintaan ayam meningkat jadi ada peniaga yang ambil kesempatan. Kerajaan belum lagi tetapkan harga siling untuk ayam, jadi mereka ambil peluang untuk kaut keuntungan awal,” katanya.

Justeru beliau menegaskan agar para peniaga menjalankan perniagaan mereka dengan penuh beretika, dan menggesa pengguna melaporkan kepada pihak berkuasa, sekiranya ada maklumat mengenai kenaikan harga barang.

– BERNAMA


Pengarang :