Jaswant Singh Sran meninggal dunia pada 18 Mei 2020. Foto Facebook FAM
AGENDASUKANKINI

Bekas pengadil FIFA Jaswat Singh meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Jaswant Singh Sran meninggal dunia di sebuah pusat kuarantin Covid-19 malam tadi.

Bekas Deputi Superintenden Polis (DSP) itu meninggal dunia pada usia 80 tahun.

Menurut adik lelakinya, Dr Kalwant Singh, mendiang dipindahkan ke pusat kuarantin selepas beberapa penghuni di Wisma Tatt Khalsa, Chow Kit di sini, tempat beliau tinggal, didapati positif Covid-19.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian sebenar kerana mendiang didapati negatif dalam ketiga-tiga ujian. Dua ujian dilakukan sebelum ini manakala ujian terakhir dilakukan pada pagi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman itu pernah mengadili perlawanan membabitkan legenda bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Aun dan mendiang Datuk R. Arumugam sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Mendiang juga merupakan pengasas bersama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA). Beliau meninggalkan seorang anak perempuan yang kini menetap di Liverpool, United Kingdom.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengucapkan takziah kepada keluarganya menerusi catatan Facebook.

“Mendiang berada dalam kelompok pengadil dan penjaga garisan sezaman dengan S. Kathirvale, Othman Omar, Koh Guan Kiat dan Mohd Noh Saud pada dekad 80-an.

“Mendiang seterusnya menjadi Penilai Pengadil selepas bersara sebagai pengadil pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :