RENCANAWAWANCARA

Belia pemangkin kehidupan norma baharu

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Belia sering digolongkan sebagai pemacu penting pembangunan negara, namun sambutan Hari Belia Negara yang jatuh pada hari ini agak sedikit suram berbanding dengan Hari Jururawat dan Hari Ibu yang turut diraikan dalam bulan Mei.

Malah, beberapa individu yang ditemubual Bernama berkenaan hari tersebut, turut mengakui ada antara mereka langsung tidak menyedari bahawa 15 Mei adalah hari yang begitu bermakna buat golongan penentu masa depan negara ini.

Entahlah di mana silapnya! Apa pun, peranan golongan ini sebenarnya tidak boleh dipandang ringan memandangkan mereka juga “tulang belakang” keutuhan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.

Maka, sumbangan golongan belia perlu dihargai dan diterjemahkan menerusi sambutan Hari Belia. Cuma untuk tahun ini, acara sambutan terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik wabak Covid-19.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam satu temuramah bersama Bernama melalui telefon berkata MBM mencadangkan sambutan hari belia 2020 diadakan pada 12 Ogos bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tema 2020

Bertemakan “Dekad ini, Dekad anda”, Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hasan berkata ia melambangkan 2020 sebagai tahun untuk para belia negara meneruskan kesinambungan dalam memainkan peranan memacu pembangunan negara dalam normal baharu.

Sejajar dengan tema itu, sama ada kita sedar ataupun tidak, sepanjang perjalanan menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ternyata peranan golongan ini dalam mengadaptasi kehidupan normal baharu begitu terserlah.

Boleh diklasifikasikan sebagai ‘pemangkin normal baharu’ mereka menggunakan pengetahuan teknologi dengan kepakaran dimiliki bukan sahaja untuk menjana pendapatan bahkan juga membantu golongan yang memerlukan.

Selain menggunakan kepakaran dimiliki untuk menyebarluaskan mesej wabak Covid-19 menggunakan kreativiti tersendiri bagi memastikan maklumat berkenaan sampai kepada golongan sasar walau apa sahaja peringkat umur.

Guna Animasi

Paling menarik, adalah inisiatif yang dibawa oleh syarikat Animonsta Studios Sdn Bhd dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada negara. Siapa yang tidak kenal dengan animasi popular BoBoiBoy dan Papa Pipi hasil seratus peratus kepakaran belia tempatan di bawah syarikat berkenaan?

BoBoiBoy yang mengisahkan seorang budak lelaki berumur 11 tahun bernama BoBoiBoy bersama kawan-kawannya melindungi bumi dengan menewaskan makhluk jahat yang mula disiarkan sejak 2011, bukan sahaja diminati kalangan kanak-kanak dan ibu bapa negara ini.

Bahkan juga kejayaan penghasilan karya anak tempatan ini yang turut mencatatkan kejayaan memberangsangkan pada 2019, menerusi BoBoiBoy Movie 2 dengan kutipan RM30 juta sepanjang dua bulan tayangan dalam negara. Ia juga turut diminati negara luar seperti Indonesia dan Brunei.

Begitu juga Papa Pipi, rancangan animasi kekeluargaan yang mengisahkan tentang Papa Zola dan anak perempuannya, Pipi Zola.

“Dengan kepakaran teknologi animasi yang kami ada, kami menggunakan populariti kedua-dua animasi berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai rakyat Malaysia dengan melancarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) menerusi segmen khas berkaitan Covid-19.

“Ini susulan pengalaman saya yang sukar menerangkan kepada anak bongsu berumur enam tahun mengenai bahaya Covid-19, mengapa tidak boleh keluar rumah. Begitu juga beberapa rakan yang berkongsi status di media sosial mereka mengenai perkara sama.

“Jadi, kami menggunakan platform ini untuk memberikan sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat dengan membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyampaikan mesej menerusi animasi akan bahaya Covid-19 serta kepentingan duduk di rumah.

“Lagipun, animasi merupakan satu medium terkini disukai ramai, tidak kira peringkat umur dan boleh menyampaikan mesej sangat serius dengan nada lebih ringan tetapi berkesan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Nizam Abdul Razak kepada Bernama melalui telefon.

Memberangsangkan

Menggunakan beberapa kaedah penyampaian mesej berkenaan, beliau berkata pemilihan medium PSA itu adalah berdasarkan kepada sasaran umur. Misalnya, untuk Papa Pipi ia dihasilkan dalam bentuk video animasi berdurasi 3 minit untuk disesuaikan dengan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.

Manakala, BoBoiBoy untuk PSA Covid-19 menggunakan medium komik digital yang dimuat naikkan di media sosial Animonsta Studios, disasarkan kepada golongan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun kerana mereka sudah boleh membaca.

Menyedari bahawa peminat mereka juga turut meliputi golongan dewasa, syarikat animasi ini menggunakan teknik ‘meme’ iaitu lakaran animasi Papa Zola, antara satu watak siri animasi Papa Pipi, berbentuk seperti poster dengan dialog menarik.

“Selain kami memuat naikkan semua kaedah ini di laman sosial syarikat, kami turut menyalurkan secara percuma siri animasi Covid-19 Papa Pipi kepada stesen televisyen untuk disiarkan. Sambutannya bukan sahaja memberangsangkan malah kami mendapat respons kanak-kanak mula takut untuk keluar rumah.

“Selain Covid-19, kami turut membuat siri khas Papa Pipi berkaitan dengan denggi yang turut menyerang. Secara keseluruhannya, sambutan untuk animasi Papa Pipi sahaja sejak ia dimuat naikkan di saluran digital telah meraih 200 juta penonton sehingga hari ini (14 Mei).

“Itu belum termasuk lagi BoBoiBoy dan Papa Zola. Kami harap dengan apa dilakukan ini dapat membuktikan bahawa belia tidak ketinggalan turut sama membantu kerajaan semasa Covid-19 dengan kepakaran dimiliki menerusi normal baharu,” katanya.

Tonggak Utama

Selain kepakaran profesional ini, jangan pandang sebelah mata pula kepada golongan bekas mat rempit. Khairul Anuar Abdullah, 33 tahun, yang bersara dari dunia merempit sejak tahun 2012, kini aktif bersama rakan bekas mat rempit lain membantu golongan memerlukan menggunakan teknologi digital sepanjang Covid-19.

Platform media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, Instagram digunakan sebaiknya oleh lelaki ini bertujuan menghubungkan kumpulan mat motor dari seluruh semenanjung bagi merealisasikan tujuan tersebut.

“Orang selalu pandang hina bekas mat rempit. Kami sering dianggap tidak berguna, peragut, penagih dadah sedangkan bukan semua mat rempit begitu.

“Jadi, saya gunakan teknologi ini untuk sedarkan masyarakat kami sudah berubah. Kerja kebajikan ini sudah dibuat empat tahun lepas tetapi orang masih tak nampak.

“Antara kerja kebajikan dilakukan adalah menggunakan platform media sosial yang menghubungkan kumpulan motor pelbagai negeri untuk kumpulkan dana dan serahkan kepada golongan susah seperti membeli barangan keperluan dan sebagainya.

“Tetapi, semuanya berubah semasa Covid-19. Ada hikmahnya di situ apabila golongan kami ini dilihat sangat berperanan penting membantu memudahkan urusan mereka seperti runner kebanyakannya dari bekas mat rempit,” katanya.

Mengulas mengenai ini, Setiausaha Agung Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia Mohammad Rizan Hassan berkata belia adalah tonggak utama serta pemangkin normal baharu sepanjang Covid-19 berikutan teknologi digital hari ini kebanyakannya sudah dimonopoli golongan tersebut.

“(Menggunakan kepakaran masing-masing menerusi teknologi sedia ada pada negara)…Ini yang dikatakan salah satu inovasi sosial yang merupakan pendekatan inovatif dan kreatif bagi menangani perihal masyarakat dan sosial yang lebih efektif dan efisyen.

“Ia menyerlahkan bakat dan potensi anak muda bagi menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembangunan negara dari sudut ekonomi dan sosial,” jelasnya menerusi e-mel.

MYYouthFair

Sejajar dengan normal baharu yang menggunakan teknologi digital, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MBM akan menganjurkan Karnival Jualan Mega atas talian melalui platform digital Cashback, yang menggabungkan pelbagai kategori platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Zalora dan lain-lain.

Menurut Muhammad Fadzli yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sambutan Hari Belia MBM program selama dua hari bermula 16 Mei ini mensasarkan golongan belia Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun.

“MYYouthfair mempunyai beberapa objektif iaitu menggalakkan dan meningkatkan budaya membeli-belah atas talian dalam kalangan belia; merangsang ekonomi domestik semasa, terutamanya ketika pandemik Covid-19; dan memberi rasa ‘istimewa’ kepada belia sempena sambutan Hari Belia Negara.

“Insentif kempen MYYouthFair adalah melalui pemberian baucar ke atas transaksi pembelian atas talian di platform Cashback.

“Setiap belia yang membuat pembelian di atas platform tersebut layak mendapat baucar RM10, RM20 dan RM 30.

“Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial terhadap krisis semasa pandemik Covid-19, adalah dicadangkan RM1 daripada setiap transaksi MYYouthFair disumbangkan untuk tabung bantuan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :