AGENDANASIONAL

Bil anggaran antara punca caj air tinggi ketika perintah kawalan

SHAH ALAM, 20 MEI: Bil air tinggi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh berpunca daripada pelbagai faktor iaitu pelanggan menerima bil anggaran, berlaku kebocoran atau penggunaan air lebih tinggi ketika tempoh tersebut, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Elina Baseri berkata, sepanjang tempoh PKP pada 18 Mac hingga 30 April, Air Selangor hanya mengeluarkan bil anggaran kerana tiada pembaca meter ditugaskan dalam tempoh tersebut.

“Jadi sekiranya bil anggaran Mac terlebih caj dan pembayaran sudah dibuat, jumlah lebihan bayaran direkodkan dalam akaun pelanggan. Jika bayaran kurang ia akan ditambah dalam bil bulan berikutnya,” kata beliau dalam kenyataan.

Menurutnya, pembaca meter bertugas semula pada 2 Mei lalu dan bil pada bulan Mac akan diselaraskan  melalui bil bulan April dan Mei berdasarkan kepada bacaan sebenar meter di premis pelanggan.

Elina memberitahu, pelanggan disaran melayari laman sesawang https://www.airselangor.com/my-water-smart/water-tariff-information bagi mengetahui lebih lanjut jadual tarif bil air.

“Jika mengesyaki ada kebocoran pelanggan dinasihatkan melantik tukang paip berdaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan segera.

“Sekiranya, bil air tinggi disyaki berpunca daripada bacaan meter yang salah, para pelanggan digalakkan untuk menghubungi Air Selangor untuk siasatan lanjut,” katanya.


Pengarang :