Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BNM tambah baik dasar pertukaran asing

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan penambahbaikan selanjutnya dalam dasar pertukaran asing bertujuan meningkatkan kecekapan perniagaan dan menawarkan fleksibiliti kepada syarikat untuk menguruskan pendedahan risiko pertukaran asing mereka dengan lebih baik.

Terdapat lima langkah kesemuanya yang berkuat kuasa serta-merta.

Penambahbaikan pertama dalam dasar ialah pengecualian daripada syarat bagi pengeksport pemastautin untuk menukar hasil eksport di bawah RM200,000 setiap urus niaga kepada ringgit.

“Fleksibiliti ini akan meringankan beban pentadbiran untuk pengeksport, terutamanya PKS, bagi memenuhi obligasi mata wang asing (FC) mereka,” menurut bank pusat dalam kenyataan.

Langkah kedua ialah pemastautin bebas untuk melindung nilai obligasi pinjaman mata wang asing sehingga tempoh asas.

Sebelum ini, pemastautin boleh melindung nilai obligasi pinjaman mata wang asing mereka sehingga 12 bulan sahaja. Fleksibiliti ini membolehkan pemastautin menguruskan risiko FX mereka dengan lebih baik daripada pendedahan pinjaman mata wang asing jangka panjang.

“Penambahbaikan ketiga dalam dasar ialah semua entiti dibenarkan untuk melepaskan kedudukan hadapan mereka dalam menguruskan kos lindung nilai mereka kecuali bagi pelaburan portfolio berikutan keadaan pasaran yang berubah. Sebelum ini, pemastautin dan bukan pemastautin perlu mendapatkan kelulusan Bank untuk melepaskan kedudukan lindung nilai.

“Pemastautin juga bebas untuk mendapatkan jaminan kewangan daripada bukan pemastautin. Sebelum ini, mereka hanya boleh mendapat jaminan kewangan sehingga had agregat sebanyak RM100 juta,” menurut BNM, menyatakan menghapuskan had tersebut membolehkan pelabur asing menyokong entiti mereka yang beroperasi di Malaysia dengan lebih baik.

Bagi langkah kelima, pemastautin bebas untuk mengeluarkan jaminan kewangan kepada bukan pemastautin dengan beberapa pengecualian daripada had agregat sebelum ini sebanyak RM50 juta.

– BERNAMA


Pengarang :