Lebuhraya Persekutuan dipenuhi kenderaan di kedua-dua arah pada waktu petang ketika tinjauan pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Boleh rehat sehari, dua jika jalan rentas negeri jauh

SHAH ALAM, 6 MEI: Kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang melaksanakan perjalanan rentas negeri yang jauh untuk berehat sehari atau dua di negeri berkenaan, kata menteri kanan (kluster keselamatan)

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata namun sebaiknya individu terbabit digalakkan untuk pulang terus ke kediaman selepas selesai urusan rentas negeri dilaksanakan.

“Mulai esok melalui Gerak Malaysia, perjalanan rentas negeri bermula dengan Kuala Lumpur, jadi bagi mereka yang mungkin hendak ambil anak di kampung, boleh ambil dan kemudian kembali semula ke Kuala Lumpur.

“Kalau mereka ingin tinggal satu atau dua hari di kampung, mereka boleh rujuk jadual pergerakan dikeluarkan polis, contoh kalau perjalanan itu jauh dari Kuala Lumpur ke Perlis, mungkin tidak sempat nak balik (Kuala Lumpur) jadi kita benarkan,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Berikut adalah jadual pergerakan merentas negeri:

7 Mei 2020 – Kuala Lumpur

8 Mei 2020 – Perak, Johor, Kelantan

9 Mei 2020 – Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang

10 Mei 2020 – Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan orang ramai mematuhi beberapa perkara sepanjang perjalanan antaranya:

– Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat

– Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat jemaah tidak dibenarkan

– Hanya tandas awam sahaja dibenarkan beroperasi

– Kawasan tempat letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna tidak dibenarkan keluar dari kereta kecuali ke tandas

– Stesen minyak hanya beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam sepanjang lebuh raya

– Pengguna adalah dilarang sama sekali untuk melakukan aktiviti berkumpulan ketika dalam perjalanan


Pengarang :