AGENDANASIONAL

Bomba tunggu koordinasi KKM, Imigresen laksana sanitasi awam

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menunggu koordinasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen untuk melakukan sanitasi awam dan disinfeksi di depot-depot tahanan imigresen yang didapati berlaku peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata ia untuk memastikan kesemua depot tahanan terlibat membuat operasi pembersihan dan nyahcemar selepas berlaku peningkatan jumlah kes wabak berkenaan.

Beliau berkata kesemua depot tahanan imigresen, balai polis serta pusat fasiliti polis termasuk penjara telah disanitasi dan disinfeksi sejak Mac lepas sebelum berlakunya peningkatan jumlah kes Covid-19 di depot imigresen lain baru-baru ini.

“Selagi ada penghuni di dalam depot tahanan imigresen atau penjara, kami akan terus membuat sanitasi awam dan disinfeksi di sekitarnya.

“Sekiranya ada tempat yang telah dikosongkan kami akan buat disinfeksi di dalam iaitu menggunakan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang mempunyai kepakaran khas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Lawatan Kesiapsiagaan Operasi Lancar di Plaza Tol Sungai Besi, di sini hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan KKM telah mengesan tiga depot tahanan imigresen yang dikesan mempunyai kes positif Covid-19 iaitu depot Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata hampir 6,000 petugas JBPM yang terlibat dengan penugasan Op Covid-19 di seluruh negara layak menerima elaun khas sebanyak RM200.

Sementara itu, katanya kes kecemasan menurun sebanyak 40 peratus bersamaan 154 kes bagi tempoh sebulan berdasarkan statistik perbandingan kes sebelum dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas.

“Statistik kes kebakaran sebanyak 79 kes, penyelamatan sebanyak 71 kes dan tugas-tugas khas sebanyak empat kes,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :