PBTSELANGOR

Bukan bazar Ramadan, tapi tapak berniaga sementara penjaja – MDHS

SHAH ALAM, 23 MEI: Insiden pemandu sebuah pacuan empat roda melanggar gerai penjaja di pekan Bukit Sentosa semalam berlaku di atas tapak berniaga sementara berpusat bagi penjaja tepi jalan berlesen bukan bazar Ramadan, maklum Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Yang Dipertuanya Shukri Mohamad Hamin menjelaskan pihaknya memberikan kebenaran berniaga kepada 36 penjaja tepi jalan berlesen di tapak itu bermula 13 Mei lalu selaras dengan arahan Kerajaan Negeri dan kebenaran Majlis Keselamatan Negara bertarikh 4 Mei 2020.

“Untuk makluman awam, lesen bazar dan lesen penjaja adalah berlainan. Lesen bazar Ramadan hanya diberikan permit untuk berniaga selama sebulan sahaja manakala lesen penjaja sah untuk tempoh setahun.

“Tahun ini, seramai 200 peniaga yang telah memohon lesen bazar Ramadan di kawasan berkenaan. Bagaimanapun, permohonan terpaksa dibatalkan oleh MDHS disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setiap penjaja diberikan kebenaran berniaga tertakluk kepada syarat-syarat seperti penggiliran hari berniaga, mengamalkan penjarakkan sosial antara tapak berniaga (1 meter) dan penetapan waktu berniaga bermula jam 3 petang hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, tapak niaga sementara berpusat disediakan bagi memudahkan pemantauan dan kawalan dilakukan penguatkuasa MDHS dengan kerjasama polis dan RELA manakala peniaga ingkar berdepan tindakan pembatalan lesen serta sitaan barangan.

Semalam tular video menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan Bukit Sentosa dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata lelaki berusia 32 tahun yang ditahan bekerja sebagai pemborong tayar, melanggar gerai serta pengunjung di tapak penjaja itu, menyebabkan lima orang awam cedera.

Beliau berkata lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (11) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Pengarang :