AGENDANASIONAL

Cadangan usul Dr Mahathir diterima, uji sokongan pada PM

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof telah menerima permohonan untuk satu usul dibentangkan di Dewan Rakyat bagi membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli dewan.

Beliau berkata Ahli Parlimen Langkawi dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat permohonan tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) berkaitan tempoh masa notis usul berkenaan.

Selepas mengkaji permohonan tersebut berdasarkan penjelasan dikemukakan, saya memutuskan untuk menerima permohonan tersebut untuk dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dewan Rakyat dijadual bersidang sehari pada 18 Mei ini.

Pada awalnya, Dewan Rakyat dijadual bersidang selama 15 hari bermula 18 Mei tetapi ditangguhkan pada 9 Mac lalu berikutan pertukaran kerajaan yang menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri.

Kerajaan memutuskan bahawa Sidang Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 tersebut dilangsungkan selama sehari susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bernama cuba menghubungi Speaker bagi mendapatkan penjelasan mengenai penerimaan permohonan untuk usul di dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak, sama ada 18 Mei atau akan datang, tetapi tidak berjaya.

Mohamad Ariff, yang menolak satu lagi permohonan oleh Dr Mahahthir di bawah Peraturan Mesyuarat 4 bahawa Speaker bagi penggal ini dikekalkan sehingga dewan dibubarkan, berkata ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Mohamad Ariff berkata sejak Notis Memanggil Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Rakyat dikeluarkan pada 17 April lalu, beliau menerima empat permohonan usul daripada Ahli Parlimen termasuk daripada Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong pula mengemukakan permohonan untuk usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 bagi membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat; Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli dewan; majlis mesyuarat yang dijadual sehari bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta cadangan sidang Dewan Rakyat dilanjut menjadi lapan hari.

“Atas pertimbangan berdasarkan penjelasan yang telah dikemukakan, saya memutuskan agar sebahagian permohonan ditolak dengan alasan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu, untuk kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak,” kata Mohamad Ariff.

Permohonan untuk membawa usul oleh Ahli Parlimen Semporna dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antaranya memohon untuk membuat ketetapan Dr Mahathir mempunyai keyakinan majoriti ahli Parlimen ditolak kerana tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, saya perlu meneliti dan memastikan segala permohonan untuk usul yang dikemukakan hendaklah menepati serta mematuhi peruntukan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat yang sedia ada kerana pada hemat saya, ia sebahagian daripada keluhuran undang-undang.

“Dalam hal ini, apa jua pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat perlu bersifat adil dan saksama serta menjaga integriti Dewan Rakyat dan Parlimen sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Ariff memaklumkan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga akan berlangsung selama satu hari pada 18 Mei ini.

– BERNAMA


Pengarang :