Urusan jual beli dilakukan secara pandu lalu di Pasar Agro Selangor menjelang Aidilfitri di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Catat nilai jualan RM560,000, Pasar Agro Selangor bakal ditambah baik

SHAH ALAM, 26 MEI: Pasar Agro Selangor yang menawarkan barangan segar pada harga terkawal selama dua hari sempena Aidilfitri mencatatkan nilai jualan RM560,000.

Beroperasi di enam lokasi, EXCO industri asas tani berkata faktor harga rendah dan keselesaan membeli secara pandu lalu mendorong peningkatan hasil jualan.

“Kita akan teruskan Pasar Agro Selangor sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tetapi ditambah baik demi keselesaan dan kemudahan rakyat,” kata Ir Izham Hashim kepada SelangorKini.

“Pasar menggunakan konsep pandu lalu, jualan secara dalam talian dan penghantaran ke rumah perlu diteruskan selaras norma baharu berikutan Covid-19 belum terhapus.”

Pada 22 dan 23 Mei lalu, Selangor melaksanakan operasi jualan secara pandu lalu untuk pelanggan mendapatkan barangan basah pada harga berpatutan.

Lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui pautan www.agrobazaar.com.my atau rujuk Facebook Agro Selangor untuk maklumat lanjut.


Pengarang :