Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Cemas bawa dadah, lelaki rempuh kereta peronda polis

KLUANG, 30 MEI: Cemas kerana membawa dadah, seorang lelaki bertindak merempuh sebuah kereta peronda polis, sebuah kereta dan motosikal dalam usaha melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Taman Intan, dekat sini, petang ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata dua orang awam cedera ringan dalam kejadian itu manakala tiada kecederaan dialami anggota polis yang bertugas ketika itu.

Beliau berkata kereta Proton Wira Aeroback berwarna merah yang dipandu suspek telah diarah berhenti oleh anggota peronda di Batu 4, Jalan Kluang-Mersing apabila dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, suspek memecut melarikan diri ketika dihampiri anggota polis menuju ke arah Ayer Hitam, sejauh kira-kira 20 kilometer. Sebaik tiba di Pusat Rekreasi Zenxin di Jalan Batu Pahat, suspek bertindak berpatah balik ke arah Kluang dan merempuh sebuah kereta peronda polis yang membuat sekatan di simpang Felda Ayer Hitam.

“Kereta yang dipandu suspek kemudiannya terbabas setelah merempuh sebuah motosikal dan sebuah kereta di lampu isyarat berhampiran Taman Intan,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.

Mohd Abduh berkata hasil siasatan ke atas suspek berusia 35 tahun yang ditahan itu, polis menjumpai sebuah beg kecil mengandungi tujuh paket dipercayai dadah dan peralatan menghisap dadah di dalam sebuah lagi beg kecil.

“Lima paket dadah itu disyaki jenis heroin dianggarkan seberat tiga gram dan dua paket lagi disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.05 gram.

“Suspek kini ditahan dan siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Permohonan reman suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kluang hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :