AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 17 kes baharu, kedua terendah sejak PKP

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 17 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini merupakan angka kedua terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 73 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah keseluruhan sembuh 5,512.

“Daripada 17 kes baharu, terdapat enam kes import manakala 11 penularan tempatan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini adalah sebanyak 6,872.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,247 kes manakala 13 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan wabak itu menjadikan jumlah meninggal dunia sebanyak 113 kes.

“Kes kematian ke-113 iaitu kes ke-6856 merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru peringkat terakhir dan darah tinggi.

“Beliau merupakan seorang kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah, namun telah bercuti sakit disebabkan sakit berkenaan,” katanya.


Pengarang :