Anggota tentera memasang kawat besi berduri di sekitar kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di MAEPS ketika tinjauan pada 25 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 172 kes baharu, 34 pesakit pulih

SHAH ALAM, 25 MEI: Sebanyak 172 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu menyaksikan kes keseluruhan di seluruh negara adalah 7,417 kes dengan 1,323 kes aktif kebolehjangkitan.

“Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes dikesan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, seramai 34 individu disahkan sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 5,979 kes.

Di samping itu, terdapat lapan kes positif wabak sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari tadi dan setakat ini Malaysia kekal sebanyak 115 kematian.


Pengarang :