Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 30 jangkitan baharu, angka korban kekal 115

SHAH ALAM, 30 MEI: Tiada kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Malaysia sejak 23 Mei lalu dengan angka korban kekal seramai 115 orang setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan baharu wabak pula menurun kepada 30 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam negara sebanyak 7,762.

“Tiga merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 27 adalah kes penularan tempatan manakala daripada 27 jangkitan tempatan, 17 kes adalah warga asing, 10 kes membabitkan warga tempatan.

“Sehingga kini seramai sembilan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata setakat hari ini, seramai 95 pesakit sembuh daripada jangkitan itu, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sebanyak 6,330 atau 81.55 peratus sekali gus menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ialah 1,317.


Pengarang :