Selangorkini
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai samping songket dan tanjak serta lengkap dengan alat perlindungan diri (PPE) ketika bertugas pada hari pertama Aidilfitri, membawa keluar beberapa individu yang dipercayai positif Covid-19 pada 24 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENSI SELANGOR

Covid-19: 64 kes aktif, Sepang kini zon merah

SHAH ALAM, 31 MEI: Pertambahan 24 kes baharu Covid-19 di mukim Labu hari ini menjadikan Sepang bertukar status ke zon merah apabila merekodkan 64 kes aktif terkumpul.

Perubahan itu menjadikan dua daripada sembilan daerah di Selangor memasuki kategori berbahaya termasuk Hulu Langat yang mencatat 126 kes aktif setakat 12 tengah hari tadi.

“Kes baharu Depoh Tahanan Imigresen (DTI) yang naik mendadak menyebabkan mukim Labu kini zon merah. Sepang juga menjadi zon merah secara automatik.

“Pengamalan kebiasaan baharu seperti penjarakan sosial, jaga kebersihan dan pakai pelitup muka perlu menjadi rutin harian. Itu sahaja benteng paling efektif pada waktu ini,” tulis Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) di Facebook.

Selain itu, enam daerah berada di zon kuning adalah Petaling (23), Kuala Langat (20), Gombak (17), Hulu Selangor (16), Kuala Selangor dan Klang masing-masing enam kes aktif.

Sabak Bernam pula kekal status zon hijau susulan tiada kes aktif dikesan empat hari berturut-turut di daerah tersebut.

Hari ini, Selangor mengalami peningkatan jumlah kes baharu positif Covid-19 iaitu 31 kes menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 1,909 dengan 278 aktif.

Bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital pula sebanyak 1,531 manakala angka korban akibat pandemik itu kekal 22 orang.


Pengarang :