Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: 750 kakitangan, ahli parlimen jalani saringan, tiada positif

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebanyak 750 saringan Covid-19 dilakukan ke atas warga Parlimen termasuk 222 ahli parlimen setakat semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan saringan itu mendapati semua bebas daripada wabak tersebut.

“Semalam adalah hari terakhir (saringan) dan bukan sahaja untuk ahli parlimen tetapi warga kerja parlimen.

“Keputusan tiada yang positif, tetapi kita masih ada sampel dalam pengujian dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh sehari dua lagi,” kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisham berkata semua ahli parlimen akan menjalani saringan Covid-19 selepas ujian ke atas kakitangan Parlimen selesai.

Persidangan Parlimen yang sepatutnya dijadualkan pada 9 Mac sehingga 16 April diadakan selama sehari pada 18 Mei dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Pengarang :