Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 30 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 belum berakhir,  berisiko naik mendadak semula

SHAH ALAM, 2 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pandemik Covid-19 belum berakhir dan masih ada risiko berlaku penularan mendadak, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu boleh wujud sekiranya masyarakat lalai dan alpa dalam mengamalkan norma baharu kehidupan seharian.

“Secara global, sebanyak 187 buah negara terkesan dengan jumlah kes positif Covid-19 yang kini mencecah 3,343,777 dengan 238,650 kematian.

“Jadi jangan kita lalai dan alpa dalam mengamalkan norma baharu kehidupan seperti penjarakan sosial, pakai penutup hidung dan mulut di kawasan umum, jaga kebersihan dan elakkan perhimpunan ramai.

“Kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting untuk memastikan kita berjaya menewaskan virus Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, menerusi kerjasama pelbagai pihak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama hingga ketiga berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, kata beliau, Malaysia masih dalam peperangan menentang Covid-19, namun dalam medan pertempuran yang berbeza.

“Objektif pelaksanaan PKP satu, dua dan tiga adalah untuk meratakan keluk (Covid-19) dan bukan untuk menamatkan jangkitan virus.

“Kita sudah berjaya tetapi kita masih dalam peperangan tapi mungkin di medan tempur yang berbeza dan perlukan strategi berbeza,” kata beliau.

Oleh itu, menurut Noor Hisham, menerusi strategi baharu ini, rakyat perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan norma kehidupan baharu.

“Jika gagal berbuat demikian, maka perjuangan kita menentang Covid-19 akan menjadi sukar untuk beberapa minggu akan datang,” katanya.


Pengarang :