Petugas KKM memasuki kawasan sekitar perkampungan di Chow Kit untuk memanggil penduduk melakukan saringan Covid -19 bagi membendung wabak tersebut ketika tinjauan pada 7 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Jabatan kesihatan negeri ambil peranan lindungi zon hijau

SHAH ALAM, 27 MEI: Jabatan kesihatan negeri diminta mengambil peranan melindungi zon hijau bagi mencegah penularan Covid-19 di kawasan masing-masing, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sudah tiba masa negeri memainkan peranan menjadi barisan hadapan mempertahankan zon berkaitan supaya tidak berubah kepada kuning atau merah.

“Kerajaan Negeri bersama jabatan kesihatan negeri masing-masing perlu mengambil peranan antaranya pemerkasaan komuniti diperkukuh bagi tujuan itu dan dalam masa sama peringkat daerah perlu tubuh jawatankuasa menangani Covid-19 dengan menurunkan mandat kepada mukim, kampung serta pengurusan kawasan rukun tetangga,” katanya ketika temubual melalui panggilan telefon pada program Selamat Pagi Malaysia hari ini.

Dr Adham berkata pihaknya sedar berlaku peningkatan kes jangkitan baharu mencecah tiga angka selepas kira-kira dua minggu kekal dua angka, namun kebanyakan adalah kes import serta dalam kalangan warga asing di Depoh Tahanan Imigresen (DTI).

“Daripada 187 kes jangkitan baharu yang direkodkan semalam, 155 dikesan dalam DTI, manakala 10 adalah kes import dan hanya empat kes membabitkan jangkitan tempatan. Pada masa sama, kadar kes pulih di negara ini adalah pada paras 79 peratus,” katanya.


Pengarang :