AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu 37, pesakit pulih 31

SHAH ALAM, 19 MEI: Terdapat 37 lagi kes baharu positif Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 6,978 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,218 kes, kata ketua pengarah kesihatan

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 37 kes baharu dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan iaitu 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia.

Katanya 31 pesakit pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar daripada wad direkodkan sekali gus menjadikan jumlah pesakit pulih wabak itu kini 80.9 peratus, daripada jumlah keseluruhan.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar dari wad sebanyak 5,646 kes,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kematian berkaitan Covid-19, menjadikan kumulatif kematian Covid-19 di Malaysia adalah 114 atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Sehingga kini, terdapat 11 positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi manakala enam memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.


Pengarang :