Sampel saringan Covid-19 individu yang akan dihantar bagi mendapat keputusan sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Covid-19: Kes baharu di Selangor kembali catat dua digit

SHAH ALAM, 29 MEI: Kes baharu Covid-19 di Selangor hari ini naik semula kepada dua digit apabila merekodkan 28 kes selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan satu angka.

Dua kes direkodkan semalam, lima kelmarin dan sembilan pada hari sebelumnya, Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) memaklumkan empat daripada kes baharu hari ini membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari Mesir sedang dikuarantin di negeri ini.

Sebanyak 20 kes dicatatkan di Kuala Langat manakala Petaling (tiga) dan Kuala Selangor (satu).

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Selangor adalah sebanyak 1,873 dengan 262 kes aktif.

Bilangan pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital pula sebanyak 1,516 manakala angka korban 22 orang.

Sementara itu, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) terus mengingatkan orang ramai menghargai kebebasan diberikan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD) dengan meningkatkan tahap disiplin bagi mengelak penyebaran jangkitan.

“Ingat, kebebasan anda bergantung kepada disiplin diri sendiri. Jika anda tidak berdisiplin dengan norma baharu, kemungkinan Selangor ditutup sekali lagi itu boleh berlaku.

“Sayangi kebebasan anda dengan berdisiplin dan bertanggungjawab,” tulisnya menerusi Facebook.


Pengarang :