SELANGOR

Covid-19: Kes baharu di Selangor kembali ke dua angka

SHAH ALAM, 31 MEI: Selangor mencatatkan 31 kes baharu Covid-19 hari ini berbanding hanya lima yang direkodkan semalam.

Berdasarkan data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS) perkembangan itu menjadikan jumlah kes kumulatif di negeri ini adalah 1,909 dengan 278 aktif.

“Sebanyak 24 kes dicatatkan di Sepang, Gombak (dua) dan masing-masing satu kes di Hulu Langat serta Klang.

“Baki tiga kes lagi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Mesir (dua) dan Jepun (satu),” menurut BGNS.

Sementara itu, sebanyak 1,531 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital manakala angka korban ekoran pandemik itu kekal 22 orang.

Malaysia mencatatkan 57 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan yang dicatatkan sebanyak 7,819.

Bagaimanapun, hanya empat kes melibatkan warga tempatan dan selebihnya adalah warga asing.

Kes kematian dalam negara berikutan wabak itu juga kekal 115 orang untuk tempoh sembilan hari berturut-turut.


Pengarang :