Anggota Imigresen membawa sebahagian warga asing untuk diperiksa dokumen perjalanan ketika operasi serbuan terhadap warga asing di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) Pasar Jalan Othman pada 20 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: KKM kesan kluster baharu di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil

SHAH ALAM, 21 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu penularan Covid-19 di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini, seramai 645 individu disaring dan 35 daripadanya positif sementara 400 kes negatif dan 210 masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes positif melibatkan bukan warganegara Malaysia iaitu 17 warga Myanmar, 15 (India) manakala Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir masing-masing satu kes.

“Punca jangkitan adalah masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Noor Hisham berkata kesemua individu positif ditahan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

“Mereka yang dijangkiti sudah diasingkan serta sedang menjalani rawatan, buat masa ini KKM masih mencari kontak rapat supaya mereka dikuarantinkan segera.

“Bagi mereka ditahan di Depot Tahanan Imigeresen ketika PKP atau PKP Bersyarat, mereka sudah jalani ujian saringan terlebih dahulu,” katanya.


Pengarang :