Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai samping songket dan tanjak serta lengkap dengan alat perlindungan diri (PPE) ketika bertugas pada hari pertama Aidilfitri, membawa keluar beberapa individu yang dipercayai positif Covid-19 pada 24 MEI 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Covid-19: Kluster baharu DTI di kesan di Sepang

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu Covid-19 dengan enam kes di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Selangor, iaitu kluster ketiga melibatkan DTI.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan kewujudan satu kluster membabitkan warga asing di DTI di Semenyih, Selangor dengan 21 daripada 1,752 sampel yang diambil disahkan positif Covid-19.

Terdahulu, 60 kes COVID-19 dikesan di DTI Bukit Jalil.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata KKM dalam proses mengambil sampel pendatang tanpa izin di DTI Bukit Jalil dan Semenyih melibatkan 3,000 individu yang turut merangkumi petugas dua depoh tersebut.

Katanya mereka yang didapati positif akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

-BERNAMA


Pengarang :