Suasana di dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Maksimum 17 pelajar satu kelas, SOP di kantin diperketat

SHAH ALAM, 12 MEI: Satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa, sebaik sesi persekolahan dibuka semula kelak, kata menteri kanan (pendidikan).

Dr Mohd Radzi Jidin berkata percubaan di lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya sudah dilakukan, supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan Covid-19, lapor Berita Harian.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada tatacara operasi piawai (SOP) bagi pengurusan sekolah pasca Covid-19 yang akan diperincikan pihaknya, nanti.

“Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang.

“Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.

“Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas Covid-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada wawancara khas dalam program “Soal Rakyat” yang disiarkan di TV3, malam tadi.

Memberi contoh lain, Mohd Radzi berkata SOP di kantin juga akan diperketatkan dengan memastikan ia tidak sesak seperti kebiasaan yang mendedahkan lebih risiko jangkitan.

“Apa yang akan dilaksanakan adalah makanan akan dibungkus dan sebagainya. Kita ada garis panduan makan di kantin yang akan turut membabitkan bila dan di mana pelajar akan makan,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan memastikan SOP itu dapat dipatuhi sepenuhnya melalui pembukaan sesi pembelajaran kepada pelajar kelas peperiksaan iaitu tingkatan lima dan enam terlebih dahulu, sebelum dibuka kepada tahap lain.

Bagaimanapun, Mohd Radzi mengakui, pelaksanaan SOP itu kelak akan menjadi cabaran kepada guru untuk memastikan pelajar bersedia menghadapi kebiasaan baharu dan SOP berkenaan dipatuhi.


Pengarang :